loader image

Tanggungjawab

Modul 1 : Akidah

Menanam Rasa Tanggungjawab dalam Penyampaian Modul Akidah

Modul 2 : Ibadah

Memupuk Sikap Bertanggungjawab dalam Penyampaian Modul Ibadah

Modul 3 : Sirah

Menanam Sikap Bertanggungjawab dalam Penyampaian Modul Sirah

Modul 4 : Akhlak

Menanam Sikap Bertanggungjawab Melalui Penyampaian Modul Akhlak

Modul 5 : Bahasa Al-Quran

Menanam Sikap Bertanggungjawab dalam Penyampaian Modul Bahasa Al-Quran dan Tulisan Jawi

Menanam Rasa Tanggungjawab dalam Penyampaian Modul Akidah

Tujuan :

Modul ini bertujuan untuk membimbing murid prasekolah dalam penghayatan akidah Islam dalam kehidupan harian sambil menanam rasa tanggungjawab di dalam jiwa mereka.

Penjelasan :

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), guru menjadi model seorang insan yang bertanggungjawab.

Sepanjang proses penyampaian modul ini, guru diminta agar sentiasa bertutur dengan nada yang lembut, tegas dan penuh kasih sayang. Penggunaan kata-kata kesat adalah dilarang sama sekali.

Guru perlu menjelaskan kepada murid tentang tanggungjawab beliau sebagai seorang guru dan tanggung jawab murid sebagai pelajar.

Penyampaian :

Modul ini terbahagi kepada TIGA (3) perkara daripada Rukun Iman dimana guru boleh menerapkan rasa tanggungjawab semasa menjalankan aktiviti-aktiviti semasa penyampaian topik berikut:

Beriman kepada Malaikat

Menjelaskan bagaimana malaikat dicipta oleh Allah untuk menjalankan tanggungjawab.

Mengingatkan murid akan tanggungjawab mereka sebagai insan yang dicipta oleh Allah dan kenapa Allah menjadikan malaikat.

Aktiviti :

  • Bernasyid lagu 10 malaikat.
  • Menerangkan bahawa Allah yang menjadikan para malaikat berulang kali.
  • Menyebut nama dan tugas 10 malaikat dengan tugasnya.
  • Menggunakan carta nama dan tugas sepuluh malaikat.
Beriman Kepada Malaikat
Penjelasan tentang kejadian malaikat
Beriman kepada Hari Kiamat

Menjelaskan kepada murid bahawa sesuatu itu mempunyai permulaan dan akhirannya.

Tanggungjawab seorang Islam ialah beriman kepada kewujudan hari kiamat.

Setiap amalan di dunia akan dihitung di akhirat kelak. Oleh itu, menjadi kewajipan setiap orang Islam agar sentiasa mengerjakan kebaikan.

Aktiviti :

  • Berbincang tentang kelahiran seseorang sehingga akhir hayatnya dan mengaitkannya dengan kekuasaan Allah.
  • Membuat aktiviti luar kelas untuk melihat tumbuhan yang hidup dan yang sudah mati.
  • Menjelaskan tentang kuasa Allah yang menghidupkan dan mematikan.
  • Bercerita tentang tanda-tanda hampirnya hari kiamat.
  • Menceritakan keistimewaan syurga dan menggalakkan murid membuat kebaikan.
  • Menceritakan kesengsaraan di dalam neraka dan perlu mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang.
Beriman kepada Hari Kiamat
Penjelasan tentang hari akhirat
Beriman kepada Qada’ dan Qadar

Adalah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam untuk beriman kepada Qada’ dan Qadar.

Menyatakan keyakinan tentang ketentuan Allah yang boleh diubah dengan usaha dan doa.

Aktiviti :

  • Bercerita tentang pemimpin dan tokoh-tokoh yang dilahirkan dalam keluarga miskin tetapi berjaya atas usaha dan doa.

  • Menyatakan bahawa manusia perlu sentiasa berusaha dalam setiap perkara dan kemudian berserah kepada Allah.

  • Melafazkan doa-doa yang berkaitan dan diikuti oleh murid.

Memupuk Sikap Bertanggungjawab dalam Penyampaian Modul Ibadah

Tujuan :

Modul ini bertujuan untuk membimbing murid prasekolah dalam penghayatan dan kepentingan mengerjakan ibadah dalam kehidupan sambil memupuk rasa tanggungjawab dalam diri setiap murid.

Penjelasan :

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), guru menjadi model insan yang menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik.

Sepanjang proses penyampaian modul ini, guru diminta agar sentiasa bertutur dengan nada yang lembut, tegas dan penuh kasih sayang. Guru juga mesti mengelakkan dan melarang pelajar menggunakan kata-kata yang kesat semasa berkomunikasi. Ia juga amalan yang melambangkan rasa tanggungjawab terhadap perasaan orang lain.

Guru perlu menjelaskan hubungkait antara ibadah dan rasa tanggungjawab sebagai insan yang dicipta oleh Allah.

Penyampaian :

Modul ini terbahagi kepada TIGA (3) komponen modul ibadah dimana guru boleh menerapkan sikap bertanggungjawab semasa menjalankan aktiviti berikut bersama murid:

Mendirikan Solat

Solat 5 waktu melahirkan kasih sayang dan ketaatan kita kepada Allah.

Solat merupakan tanggungjawab setiap insan.

Solat melatih kita bertanggungjawab dalam menjaga masa dan menepati waktu.

Aktiviti :

  1. Menyatakan nama dan masa bagi solat dengan menjalankan aktiviti berikut:
    • Menerangkan mengapa orang Islam wajib menunaikan solat.
    • Menggunakan jam untuk menentukan waktu solat.
    • Menyusun waktu solat mengikut urutan.
    • Menunjukkan arah kiblat kepada murid ketika hendak solat dengan menggunakan kompas.
    • Menerangkan kenapa perlu menghadap kiblat ketika mendirikan solat.
  2. Menyatakan bilangan rakaat solat lima waktu:
    • Membimbing murid menyebut dan memadankan.
    • Membimbing murid menyebut dan memadankan bilangan rakaat dengan solat lima waktu.
    • Menyebut nama dan waktu solat.
    • Menyatakan waktu solat dan bilangan rakaat solat lima waktu.
  3. Menjaga aurat ketika mendirikan solat:
    • Menjelaskan kepentingan menutup aurat.
    • Meminta pelajar menutup bahagian tubuh badan yang perlu ditutup semasa mengerjakan solat.
  4. Melaungkan azan dan melafaz iqamah:
    • Melafaz azan dan iqamah beramai-ramai.
    • Mengingatkan murid agar sentiasa menghormati waktu azan.
  5. Melafazkan niat solat 5 waktu:
    • Murid menyatakan niat ketika takbiratul ihram.
  6. Aktiviti menyusun gambar mengikut pergerakan dalam solat:
Mendirikan Solat
Penjelasan tentang tanggungjawab mendirikan solat
Mengerjakan Ibadah Puasa

Puasa merupakan ibadah yang dijalankan pada bulan Ramadan.

Ibadah puasa melatih kita bersabar, bertanggungjawab dan bertakwa kepada Allah.

Aktiviti :

  • Menjelaskan kepada murid kenapa kita berpuasa kerana kita bertanggungjawab untuk menjalankan suruhan Allah.
  • Melafaz dan menghafaz niat puasa dan doa berbuka puasa berserta maknanya.
  • Menceritakan tentang amalan-amalan yang dituntut dalam bulan puasa.
  • Bersoal jawab tentang amalan-amalan yang dilakukan dalam bulan puasa seperti bersedekah, berjimat-cermat, bersolat tarawikh dan bertadarus al-Quran.
  • Perkara-perkara yang membatalkan puasa.
  • Bercerita tentang pengalaman pada Hari Raya Aidilfitri.
  • Melakonkan perkara-perkara yang dibuat semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti:
    • Menyediakan juadah secara sederhana.
    • Bersedekah kepada orang miskin dan anak yatim.
    • Bertasbih, bertahmid, bertakbir dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.
Ibadah Puasa
Penjelasan tentang ibadah puasa
Mengeluarkan Zakat

Zakat merupakan tanggungjawab setiap umat Islam yang berkemampuan.

Zakat melatih kita bersyukur dan berterima kasih kepada Allah yang memberi kita rezeki.

Menjelaskan tentang hubungan antara ibadah solat dan tanggungjawab mengeluarkan zakat.

Aktiviti :

  • Bercerita tentang ibadah zakat dalam Islam.
  • Bersoal jawab dengan murid tentang zakat.
  • Bercerita tentang kehidupan orang miskin yang memerlukan bantuan, dan tujuan serta kebaikan membayar zakat fitrah.
  • Bersoal jawab tentang apa yang telah didengar atau ditonton, dan kaitkan dengan tujuan berzakat. Kaitkan dengan konsep berkongsi dan saling membantu.
  • Bercerita tentang tujuan dan kebaikan membayar zakat fitrah serta tempoh membayar zakat fitrah.
Mengeluarkan Zakat
Hikmah mengeluarkan zakat

Menanam Sikap Bertanggungjawab dalam Penyampaian Modul Sirah

Tujuan :

Modul ini bertujuan untuk membimbing murid prasekolah dalam penghayatan dan kepentingan mempelajari Sirah disamping menanam sikap bertanggungjawab di dalam diri mereka.

Penjelasan :

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), guru menjadi model insan yang bertanggungjawab.

Sepanjang proses penyampaian modul ini, guru diminta agar sentiasa bertutur dengan nada yang lembut, tegas dan penuh kasih sayang. Guru juga mesti mengelakkan dan melarang pelajar daripada menggunakan kata-kata yang kesat semasa berkomunikasi.

Guru perlu menjelaskan hubungkait antara Sirah dan kepentingan sikap bertanggungjawab di dalam menjalani kehidupan seharian.

Penyampaian :

Modul ini terbahagi kepada DUA (2) komponen dimana guru dapat menerapkan sikap bertanggungjawab semasa bercerita tentang:

Akhlak Rasulullah S.A.W

Aktiviti : 

  • Bercerita tentang tanggungjawab Rasulullah S.A.W sebagai pemimpin.
  • Bercerita tentang tanggungjawab Rasulullah S.A.W dalam mengerjakan ibadah seperti berikut:
    • Walaupun Baginda seorang rasul, kekasih Allah dan syurga itu pasti miliknya, namun Baginda tidak mengabaikan perintah Allah s.w.t kepada setiap hamba-Nya. Bahkan, Baginda memperbanyakkan solatnya sehingga bengkak kakinya melebihi umat yang lain.
    • Selain itu, Baginda turut berpuasa selang sehari dan sentiasa membasahkan lidahnya dengan zikir, sama ada ketika dalam keadaan jaga (sedar) atau tidur.
Peristiwa-Peristiwa Penting

Aktiviti :

  • Mengaitkan sikap tanggungjawab Rasulullah S.A.W semasa bercerita tentang tajuk berikut:

    • Sejarah Kota Mekah & Ka’bah
    • Masjidil Haram 
    • Tawaf di Baitullah 
    • Makam Ibrahim
    • Hajarul Aswad
    • Air Zamzam
    • Berkahwin dengan Khadijah
    • Menerima Wahyu
    • Hijrah ke Madinah 

Menanam Sikap Bertanggungjawab Melalui Penyampaian Modul Akhlak

Tujuan :

Modul ini bertujuan untuk membimbing murid prasekolah dalam penghayatan kehidupan berakhlak dengan menanam sikap bertanggungjawab di dalam diri mereka.

Penjelasan :

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), guru menjadi model insan yang bertanggungjawab.

Sepanjang proses penyampaian modul ini, guru diminta agar sentiasa bertutur dengan nada yang lembut, tegas dan penuh kasih sayang. Guru juga mesti mengelakkan dan melarang murid daripada menggunakan kata-kata yang kesat semasa berkomunikasi.

Guru perlu menjelaskan hubungkait antara pendidikan akhlak dengan sikap bertanggungjawab dalam menjalani kehidupan seharian.

Penyampaian :

Modul ini terbahagi kepada LIMA (5) komponen modul Akhlak dimana guru dapat menerapkan sikap bertanggungjawab semasa menjalankan aktiviti-aktiviti bersama murid:

Adab Makan

Setiap orang Islam wajib mematuhi peraturan dan beradab sopan semasa makan dan minum supaya tidak makan dan minum dengan gelojoh, rakus dan tamak.

Agama Islam mengajar agar manusia makan dan minum dalam keadaan yang teratur, bersopan dan bersih. Makanan juga hendaklah yang baik dan halal.

Adab makan dan minum adalah seperti berikut:

Tunggu ayah dan ibu untuk makan bersama-sama. Biar orang tua mulakan makan terlebih dahulu.

Duduk dengan tertib dan bersopan menghadap hidangan.

Sebelum datang ke tempat makan, pakailah pakaian yang bersih seperti yang diajar oleh Nabi kita.

Aktiviti :

  • Menyediakan suasana yang membolehkan murid menunjukkan tingkah laku semasa makan.
  • Menunjukkan cara-cara membasuh tangan sebelum makan.
  • Mengingatkan murid agar memakan makanan yang baik dan halal. Allah melarang memakan makanan yang haram.
  • Membaca doa sebelum makan atau minum.
  • Makan dengan tangan kanan.
  • Makan dengan tertib dan bersopan, tidak gelojoh. Begitu juga ketika minum, supaya tidak mudarat.
  • Elakkan makan terlalu banyak sehingga perut merasa senak dan susah hendak berjalan. Makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.
  • Selepas makan, basuh tangan dan ucapkan Alhamdulillah dan membaca doa selepas makan.
  • Mengemaskan tempat makan.
Adab Masuk dan Keluar Tandas

Aktiviti :

  • Menerangkan sebab membaca doa sebelum masuk ke tandas.
  • Menerangkan adab masuk tandas:
    • Menutup kepala.
    • Membaca doa sebelum masuk ke tandas.
    • Masuk dengan langkah kaki kiri.
    • Keluar dengan langkah kaki kanan.
    • Baca doa selepas keluar tandas.
  • Menerangkan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat dalam menjaga kebersihan tandas awam.
Adab dalam Perjalanan

Menerangkan sifat-sifat bertanggungjawab dalam perjalanan seperti memakai tali pinggang keselamatan, jangan membuang sampah keluar dari kenderaan.

Aktiviti :

  • Membaca doa menaiki kenderaan.
  • Bercerita tentang kenderaan yang murid naiki untuk ke sekolah.
  • Bercerita tentang adab berada di dalam kenderaan.
Adab Tidur dan Bangun

Menerangkan sifat-sifat bertanggungjawab dalam menjaga waktu tidur dan kebersihan tempat tidur.

Menerangkan tanggungjawab seseorang untuk mendapatkan tidur yang cukup.

Tidur dengan memenuhi adab-adab tidur dikira sebagai ibadah.

Aktiviti :

  • Membaca doa sebelum tidur: Ya Allah, dengan nama-Mu aku hidup dan aku mati.

  • Membersihkan badan daripada najis dan hadas apabila hendak tidur, disunatkan mengambil wudhuk sekalipun berada dalam hadas besar.

  • Kedudukan badan sewaktu tidur hendaklah mengiring ke arah kiblat.

Tanggungjawab terhadap Alam Sekitar

Menerangkan kepada murid tentang tanggungjawab menjaga kebersihan.

Cara menjaga kemudahan awam.

Aktiviti :

  • Mengadakan gotong royong dan menceriakan kelas.
  • Berjimat cermat menggunakan elektrik.
  • Berlatih menggunakan tandas awam, padang permainan dan pondok telefon.
  • Menjalankan projek kitar semula.
  • Melakonkan cara membuang sampah dengan betul mengikut jenis sampah.

Menanam Sikap Bertanggungjawab dalam Penyampaian Modul Bahasa Al-Quran dan Tulisan Jawi

Tujuan :

Modul ini bertujuan untuk menanam sikap bertanggungjawab semasa mengajar Bahasa Al-Quran dan tulisan jawi.

Penyampaian :

Modul ini terbahagi kepada EMPAT (4) komponen dimana guru dapat menanam sikap bertanggungjawab semasa menjalankan aktiviti berkaitan topik berikut:

Menyebut dan Menulis Huruf Hijaiyah

Menerangkan kepada murid tentang kepentingan menjalankan tanggungjawab menuntut ilmu.

Menerangkan kepada murid tanggungjawab mempelajari Bahasa al-Quran dan tulisan jawi.

Aktiviti :

  • Memperkenalkan dan menyebut huruf hijaiyah.
  • Menyurih, menekap dan membentuk huruf hijaiyah.
  • Memadankan perkataan dengan gambar dengan menggunakan kad imbasan/Plastisin.
  • Menamakan anggota badan – menerangkan sikap  dan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesihatan badan kita.
  • Menamakan objek di dalam kelas mengikut huruf hijaiyah – Menjelaskan tanggungjawab menjaga kebersihan dan harta benda awam.
  • Menyebut nama ahli keluarga mengikut huruf hijaiyah – menjelaskan tanggungjawab sebagai ahli keluarga.
  • Mengira nombor 1 hingga 10 di dalam Bahasa al-Quran –  mengira tanggungjawab sebagai seorang anak dan murid di dalam Bahasa al-Quran.
  • Menamakan haiwan mengikut huruf hijaiyah – menerangkan tanggungjawab murid terhadap haiwan peliharaan dan alam sekitar.
  • Memberi ucap selamat dalam Bahasa al-Quran – menerangkan tanggungjawab menjawab salam.
Mengenalpasti Sebutan Mengikut Tanda Bacaan

Menerangkan kenapa Kitab Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad dan menjadi panduan kepada seluruh umat Islam.

Menerangkan tanggungjawab sebagai seorang Muslim untuk memelihara bacaan dan memastikan disebut mengikut baris bacaan yang betul.

Aktiviti :

Menyurih, menekap dan membentuk huruf:

  1. Baris atas.
  2. Baris bawah.
  3. Baris hadapan.
  4. Baris dua di atas.
  5. Baris dua di bawah.
  6. Baris dua di hadapan.
  7. Sukun / tanda mati.
  8. Sabdu / syaddah / tasydid.
Mengenal Huruf Jawi

Menjadi tanggungjawab setiap individu di negara ini untuk mengenal huruf jawi.

Menjelaskan kepada murid asal usul tulisan Jawi.

Aktiviti :

  • Mengenal bentuk dan menyebut enam huruf jawi yang tidak terdapat dalam huruf hijaiyah.
  • Menyebut,mengecam dan membunyi suku kata yang terdiri daripada huruf jawi dan vocal alif, wau dan ya.
  • Menyebut kalimah atau potongan ayat dengan betul.
  • Memulakan bacaan dan murid meyambungnya.
  • Mengulang bacaan surah yang diperdengarkan sehingga dihafaz oleh murid.
Menghafaz Surah-Surah Ringkas

Menerangkan kepada murid tanggungjawab menghafaz surah-surah ringkas semasa mendirikan solat.

Aktiviti :

Membaca beramai-ramai dan meminta murid menghafaz surah-surah berikut:

  • Al-Fatihah
  • Al-Asr
  • Al-Nasr
  • Al-Lahab
  • Al-Ikhlas
  • Al-Falaq
  • An-Naas