loader image

Menanam Sikap Bertanggungjawab Melalui Penyampaian Modul Akhlak

Menanam Sikap Bertanggungjawab Melalui Penyampaian Modul Akhlak

Tujuan :

Modul ini bertujuan untuk membimbing murid prasekolah dalam penghayatan kehidupan berakhlak dengan menanam sikap bertanggungjawab di dalam diri mereka.

Penjelasan :

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), guru menjadi model insan yang bertanggungjawab.

Sepanjang proses penyampaian modul ini, guru diminta agar sentiasa bertutur dengan nada yang lembut, tegas dan penuh kasih sayang. Guru juga mesti mengelakkan dan melarang murid daripada menggunakan kata-kata yang kesat semasa berkomunikasi.

Guru perlu menjelaskan hubungkait antara pendidikan akhlak dengan sikap bertanggungjawab dalam menjalani kehidupan seharian.

Penyampaian :

Modul ini terbahagi kepada LIMA (5) komponen modul Akhlak dimana guru dapat menerapkan sikap bertanggungjawab semasa menjalankan aktiviti-aktiviti bersama murid:

Adab Makan

Setiap orang Islam wajib mematuhi peraturan dan beradab sopan semasa makan dan minum supaya tidak makan dan minum dengan gelojoh, rakus dan tamak.

Agama Islam mengajar agar manusia makan dan minum dalam keadaan yang teratur, bersopan dan bersih. Makanan juga hendaklah yang baik dan halal.

Adab makan dan minum adalah seperti berikut:

Tunggu ayah dan ibu untuk makan bersama-sama. Biar orang tua mulakan makan terlebih dahulu.

Duduk dengan tertib dan bersopan menghadap hidangan.

Sebelum datang ke tempat makan, pakailah pakaian yang bersih seperti yang diajar oleh Nabi kita.

Aktiviti :

  • Menyediakan suasana yang membolehkan murid menunjukkan tingkah laku semasa makan.
  • Menunjukkan cara-cara membasuh tangan sebelum makan.
  • Mengingatkan murid agar memakan makanan yang baik dan halal. Allah melarang memakan makanan yang haram.
  • Membaca doa sebelum makan atau minum.
  • Makan dengan tangan kanan.
  • Makan dengan tertib dan bersopan, tidak gelojoh. Begitu juga ketika minum, supaya tidak mudarat.
  • Elakkan makan terlalu banyak sehingga perut merasa senak dan susah hendak berjalan. Makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.
  • Selepas makan, basuh tangan dan ucapkan Alhamdulillah dan membaca doa selepas makan.
  • Mengemaskan tempat makan.
Adab Masuk dan Keluar Tandas

Aktiviti :

  • Menerangkan sebab membaca doa sebelum masuk ke tandas.
  • Menerangkan adab masuk tandas:
    • Menutup kepala.
    • Membaca doa sebelum masuk ke tandas.
    • Masuk dengan langkah kaki kiri.
    • Keluar dengan langkah kaki kanan.
    • Baca doa selepas keluar tandas.
  • Menerangkan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat dalam menjaga kebersihan tandas awam.
Adab dalam Perjalanan

Menerangkan sifat-sifat bertanggungjawab dalam perjalanan seperti memakai tali pinggang keselamatan, jangan membuang sampah keluar dari kenderaan.

Aktiviti :

  • Membaca doa menaiki kenderaan.
  • Bercerita tentang kenderaan yang murid naiki untuk ke sekolah.
  • Bercerita tentang adab berada di dalam kenderaan.
Adab Tidur dan Bangun

Menerangkan sifat-sifat bertanggungjawab dalam menjaga waktu tidur dan kebersihan tempat tidur.

Menerangkan tanggungjawab seseorang untuk mendapatkan tidur yang cukup.

Tidur dengan memenuhi adab-adab tidur dikira sebagai ibadah.

Aktiviti :

  • Membaca doa sebelum tidur: Ya Allah, dengan nama-Mu aku hidup dan aku mati.

  • Membersihkan badan daripada najis dan hadas apabila hendak tidur, disunatkan mengambil wudhuk sekalipun berada dalam hadas besar.

  • Kedudukan badan sewaktu tidur hendaklah mengiring ke arah kiblat.

Tanggungjawab terhadap Alam Sekitar

Menerangkan kepada murid tentang tanggungjawab menjaga kebersihan.

Cara menjaga kemudahan awam.

Aktiviti :

  • Mengadakan gotong royong dan menceriakan kelas.
  • Berjimat cermat menggunakan elektrik.
  • Berlatih menggunakan tandas awam, padang permainan dan pondok telefon.
  • Menjalankan projek kitar semula.
  • Melakonkan cara membuang sampah dengan betul mengikut jenis sampah.